Tuesday, February 1, 2011

SEJARAH SEKOLAH

 
 
Sekolah ini telah ditubuhkan pada 2hb April 1962 dengan kelasnya menumpang di Sekolah Inggeris Derma. Dalam tahun 1963, kelas telah dipindah dan ditumpangkan di Sekolah Kangar Lelaki yang terletak ditapak berhampiran Pejabat Pos Kangar hari ini. Pembelajaran di sekolah ini bermula pada 7hb Mei 1963 (dalam penggal kedua). Pada ketika itu jumlah pelajar ialah seramai 326 orang dengan 10 bilik darjah (9 aliran melayu dan 1 aliran Inggeris).

Memandangkan bilangan pelajar yang semakin bertambah, sebuah lagi bangunan didirikan bagi menampung pelajar seramai 465 orang. Bangunan ini dirasmikan oleh Duli yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Almarhum Syed Putra Ibn Almarhum Syed Hassan Jamalulail Pada 14hb Mei 1968.  Yang Berhormat Menteri Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari dan YAB Menteri Besar Perlis  turut hadir  bersama untuk berucap dalam majlis tersebut.  Bersempena itu, sekolah ini telah diubah nama kepada Sekolah Menengah Syed Sirajuddin iaitu Sempena nama YTM Raja Muda Perlis masa itu.  Jumlah guru pada masa itu seramai 22 orang.

Berikutan dengan perkembangan pelajaran sains dan teknologi sebuah lagi bangunan didirikan untuk dijadikan makmal pada tahun 1971 bagi memenuhi keperluan tersebut. Perpustakaan merupakan tempat membekalkan alat bantu yang penting dalam proses pembelajaran.  Lantaran itu, pada tahun 1975 sebuah perpustakaan telah didirikan dan dirasmikan oleh YB Datuk Mansor Osman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 6 hb Julai 1977. 

Pada tahun 1977, sekolah ini telah dinaikan taraf sebagai sekolah menengah atas iaitu dengan wujudnya 2 kelas tingkatan empat.  Walau bagaimanapun memandangkan bilangan bilik darjah yang masih belum mencukupi untuk menampung pelajar yang semakin meningkat, beberapa lagi bangunan dibina diantara tahun 1988 hingga 1990. Diantaranya ialah sebuah bangunan bilik darjah dua tingkat serta dua buah bangunan  bilik darjah satu tingkat yang didirikan secara gotong-royong oleh ibu bapa dan kaki tangan sekolah.

Akibat pertambahan pelajar, maka tahun 2000 sekolah ini telah mewujudkan persekolahan sesi pagi untuk tingkatan dua, tiga,empat dan lima manakala sesi petang bagi pelajar tingkatan satu. Demi mewujudkan semula sistem persekolahan satu sesi maka sebuah bangunan terdiri daripada lima bilik darjah didirikan pada tahun 2003.  Akhirnya pada 30 Januari 2004 sekolah ini berjaya merealisasikan sistem persekolahan satu sesi.

No comments:

Post a Comment